When baking, follow directions. When cooking, go by your own taste
Kami sedang puasa nasi sejak dua minggu lepas, kerana sebab-sebab yang tidak perlu lah saya nyatakan di sini (sudah banyak kali diberitahu, segan pula sebab belum berjaya lagi). Maka berhempas pulas juga saya mencuba resepi baru dan berkhasiat untuk hidangan tengahari dan malam. Seboleh mungkin kami mengira kalori dan memilih yang kurang kandungan lemak, tapi perlu diselang-seli dengan yang lazat lagi penuh noda (supaya tidak terlalu berdendam dengan nasi).
Resepi ini orijinnya saya peroleh dari sini, tapi telah saya ubahsuai ikut keperluan dan bahan yang ada di dapur. Mudah juga, kurang lebih 45 minit saja saya sediakan. Makaroni dan keju, versi bukan bakar. (Ada resepi makaroni dan keju pernah saya kongsi dulu).
Resepi Makaroni dan Keju Mudah.
1) Rebus makaroni (3/4 cawan, masak seperti arahan pada paket, lebih kurang 7 minit) sehingga ala dante, tidak terlalu kembang, tapi sudah masak.
2) Rebus daging (sedikit, yang dipotong kiub kecil).
3) Tumis bawang putih (yang diracik halus) dengan sedikit minyak sayur (jangan banyak, minimumkan risiko kegemukan ya), sehingga wangi.
4) Masukkan daging dan potongan sosej (dua atau tiga, potong nipis), masak sambil dikacau jangan sampai hangus. Masukkan garam dan sedikit lada sulah.
5) Masukkan jagung (jika mahu), dan susu (setengah cawan). Gaul sebati, sehingga pekat.
6) Masukkan pula makaroni yang telah direbus dan ditos. Gaul sebati.
7) Masukkan sedikit keju yang diracik halus (tidak perlu halus pun tak mengapa, nanti jadi cair juga), gaul sebati.
8) Tutup api, dan sedia untuk dihidang!
Mudahkan, resepinya? Tapi jika saya mahu buat lain kali, saya tidak mahu letak jagunglah. Jagung itu seperti manis dan mengganggu rasa keju yang masin dan lemak. Bila buat resepi ini, janganlah mengharap rasa seperti Mac N Cheese Kenny Rogers yang lazat amat itu. Ini home-made MacNCheese. Apapun, cubalah kalau-kalau bosan dengan nasi, makaroni memang mengenyangkan dan lazat.
Comments