"Gelombang beriring, angin laut membelai seakan merayu, gemercing nan bening, ikan laut menari di bawah lenganku.."



Bukan tidak memasak, bukan juga tidak makan. Cuma bila memasak, tiada sempat mengambil gambar, atau resepi berulang yang sudah pernah ditulis. Ini resepi biasa, cuma ada sedikit lain. Mudah, jika tiba-tiba tidak punya idea, atau kepingin mahu makan yang masam dan manis, resepi mudah ini sangatlah sesuai. Silalah cuba, Ikan Goreng Masak Cuka. Sedikit sama dengan Ikan Masak Asam, cuma sumber keasidan yang berbeza. (Oh, rupanya saya belum pernah berkongsi resepi Masak Asam! Nanti, bila saya masak akan saya kongsi di sini, ya?)



Ikan Goreng Masak Cuka


1) Goreng ikan dengan kunyit dan garam (ikan cencaru, atau kembung, atau ikan tenggiri, atau parang, atau apa-apa ikan biasa yang boleh digoreng). 
2) Angkat ikan dan toskan minyak, keluarkan minyak gorengan ikan, tinggalkan sedikit saja, dalam satu sudu besar dalam kuali.
3) Tumiskan bawang merah, bawang putih dan sedikit jintan manis (yang kesemuanya sudah ditumbuk kasar), sehingga wangi.
4) Masukkan tiga sudu besar cuka, kemudian masukkan sedikit air. Kacau untuk sebatikan.
5) Masukkan sedikit gula, dan garam untuk rasa.
6) Masukkan ikan yang telah digoreng tadi, cili hidup (sebiji) yang dihiris, dan bawang besar yang telah dihiris. Biarkan hinga mendidih beberapa kali, untuk pastikan rasa masam dan manis meresap dalam ikan.
7) Bila rasa sudah sempurna, padamkan api, dan sedia untuk dihidang!




Selamat mencuba!




Tajuk entri adalah beberapa bait dari lagu Ikan Laut, dendangan Musisi Jalanan.

Comments

Popular Posts