You're my Honeybunch, Sugarplum, Pumpy-umpy-umpkin, You're my Sweetie Pie, You're my Cuppycake, Gumdrop
Sebetulnya saya penuh bersemangat masa mula-mula mahu menulis blog ini. Tetapi apabila hampir seratus tujuh puluh kali mencuba muat naik gambar, saya mula hilang sabar. Jadi mahu mengelak hilang mood, maka saya tulislah cepat-cepat.
Ini Vanilla Cupcake yang saya buat semalam. Entah kenapa, aktiviti membuat kek selalu mengujakan saya ke tahap yang sukar mahu saya gambarkan. Mungkin aroma esennya, atau bau oven membakar bahan gulanya yang mengerbang ke seluruh rumah, atau keseronokan menanti yang berpenghujung gembira, yang menggembirakan. Tapi saya sejujurnya suka membakar kek (atau apa-apa aktiviti baking) lebih daripada memasak.
Mungkin prosesnya yang berlainan saya fikir. Jika memasak, perlu menyedia bahan-bahan, kemudian menumis, memasak dan tunggu mendidih kemudian baru selesai. Proses dari awal hingga akhir memerlukan perhatian dan fokus yang total. Lain pula dengan baking. Sediakan adunan, masukkan dalam oven, kemudian tunggu. Tunggu dan bila tiba waktu boleh keluarkan, keluarkan, dan sedia untuk makan. Mungkin antisipasi itulah yang menyeronokkan. (Jika hasilannya menjadi, lah).
Lagi pula, proses mengadun memang membahagiakan. Bunyi telur dipecahkan, atau tika mentega dengan gula bercampur, atau bila sudah selesai mengadun dan adunan kek akan kelihatan seakan-akan aiskrim. Alahai.
Resepi ini, saya peroleh dari sini. Sudah lama tidak membuat kek, tiba-tiba saya mahu mencuba resepi lain daripada yang biasa saya buat. Mudahnya amat, dan rasanya, SubhanaAllah, sedap! Atau meminjam kata-kata Nigella, "..ridiculously easy to make, but incredibly good! "
Cuma saya tidak punya tepung naik sendiri, maka saya ubah sedikit dengan mengguna tepung gandum biasa dan menambah satu sudu kecil serbuk penaik. Ini resepi lengkap:
1) Pukul bersama 2/3 cawan mentega dengan 3/4 cawan gula halus (saya gunakan marjerin, dan gula kasar saya kisar sehingga jadi halus serbuk). Pukul hingga kembang.
2) Masukkan 3 biji telur, masukkan sebiji-sebiji. Pukul rata tiap kali sebelum telur berikut dimasukkan.
3) Masukkan 1 setengah cawan tepung naik sendiri (yang telah diayak), sedikit sedikit, dan dipukul rata setiap kali. (Saya gunakan tepung gandum biasa, tetapi saya tambahkan dua sudu kecil serbuk penaik).
4) Dan akhir sekali masukkan satu sudu kecil esen vanila.
5) Masukkan ke dalam acuan cupcake, dan bakar pada 180 darjah celcius selama 10 minit. (Saya keluarkan adunan pada dua minit pertama, untuk taburkan chocolate rice, dan sambung bakar sehingga minit ke sepuluh).
Ini ketika masih panas, baru keluar dari oven. Cubaan awal, masih berkira-kira mahu menabur chocolate rice atau tidak.
Comments