Fill what's empty. Empty what's full. Scratch where it itches.



Sebetulnya hari ini saya ada satu temuduga di Serdang, Selangor. Tapi disebabkan saya hanya tahu berita itu 36 jam dari tempoh temuduga, dengan jarak lebih 1200 kilometer, merentas Laut China Selatan pula, maka usaha-usaha untuk membeli tiket pada minit terakhir sangatlah sukar. Tambahan saya tidak pandai berenang. Dan saya langsung tidak bersedia.


Permohonan sejak tahun lepas, selepas lama saya redha dan tidak meletak harapan lagi tiba-tiba muncul, pada minit terakhir. Setelah lama saya belajar untuk redha, dan meyakinkan diri, Allah punya perancangan terbaik untuk tidak memberi saya peluang bekerja untuk waktu ini. Saya selalu tertanya-tanya, dalam keadaan Malaysia yang hiruk pikuk mahukan penyelidik dalam bidang saya, tiada sesiapakah yang mahu ambil saya bekerja. Sudah hilang kiraan berapa resume yang saya hantar. Syukur saya ada Zul yang sentiasa meyakinkan, bahawa Tuhan itu lebih mengetahui, apa yang terbaik untuk saya sekarang. Maka saya redha.


Agak terkilan juga, tidak sempat untuk temuduga itu. Seumur hidup belum pernah saya menghadiri apa-apa temuduga. Dan peluang untuk bekerja. Tapi sekurang-kurangnya saya lega. Masih ada pihak yang menghargai ijazah saya. Dan saya yakin, dan saya doa semoga masih ada ruang di tempat dan keadaan lain.




Lagi beberapa hari saya dan Zul akan ke bahagian hemisfera Barat dunia. Saya berpeluang menemannya, atas tiket percuma (daripada point Enrich yang dikumpul) setelah tiga tahun mengumpul. Syukur yang terlalu tinggi pada Tuhan, kerana saya tidak pernah bayangkan saya akan punya peluang begini seumur hidup. Paling jauh langkah saya menggunakan pasport adalah setakat ke Singapura, (dan Bintulu lah). Zul ada urusan kerja, dan dengan izin Tuhan, kami akan melawat keluarga Kak Long juga, dan berjalan-jalan sedikit sementara ada peluang di sana. Maka, saya tidak berpeluang menulis dalam beberapa ketika. Jika ada pun entri yang muncul, itu adalah entri terjadual. Kalau-kalau ada yang rindukan saya, alahai-saya yakin tiada.


Doakan perjalanan kami selamat.

Comments

Popular Posts