Nasi ayam

1) Rebus ayam dengan air dan sedikit garam, untuk dijadikan stok. Air mendidih, keluar dan toskan ayam.
2) Kisar bawang putih dengan halia, dan sedikit bawang merah, kemudian tumis dengan biji pelaga, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis. Tumis hingga naik bau dan bawang garing. Keluarkan dua sudu dan ketepikan.
3) Masukkan bahan tumisan ke dalam stok ayam yang sedang mendidih (dalam periuk lain). Masukkan garam dan sup bunjut (jika suka) dan kiub ayam Maggi.
4) Tutup api apabila sup cukup rasa dan sudah mendidih. Taburkan daun sup dan daun seleri pada sup sebagai hiasan.
5) Gunakan sup tadi untuk memasak nasi. Campurkan dua sudu bahan tumis yang telah diketepikan awal-awal ke dalam beras yang hendak ditanak. Masak nasi dengan menggandakan sukatan sup untuk berapa sukatan nasi (1 cawan beras = 2 setengah cawan sup ayam)
6) Ayam yang telah direbus tadi, gaulkan dengan sesudu minyak bijan dan sesudu kicap masin (atau jika ayam lebih banyak, guna sukatan lebih banyak). Perap seketika, sebelum menggoreng ayam. Goreng untuk sekadar garing di bahagian luar, jangan terlalu garing, kerana isi ayam telah sedia masak.
7) Untuk sos, kisarkan beberapa biji cili hidup, bawang putih, sedikit halia, cuka, garam dan gula. Ikut citarasa masing-masing. Didihkan sebentar untuk menghilangkan rasa mentah cili.
8) Hidangkan nasi dengan sup ayam, dengan sos cili, bersama hirisan timun, daun salad dan hirisan tomato.




Kelihatan seperti banyak bahan, tapi sebenarnya mudah. Saya belajar resepi ini daripada Zul, yang terlalu gemarkan nasi ayam yang emak mertua saya masak. Maka dia belajar waktu bujang dulu, dan selalu juga dia masak jika ada waktu hujung minggu. Ini kali pertama saya masak gunakan resepi ini. Cuma belum berjaya mendapatkan rasa sos yang sama seperti emak mertua saya buat. Sos yang paling mencabar, walaupun bahannya sama. Minyak bijan juga antara komponen penting, meski tidak banyak, tapi keterlibatannya memberi kesan yang berbeza.

Oh, juga, lebihkan bawang putih dengan halia. Nasi ayam hainan kaum Cina memang selalu melibatkan gabungan halia dan bawang putih, lazat!

Apapun, saya percaya, ada banyak resepi nasi ayam dengan cara yang berbeza. Terpulanglah. Sila abaikan kualiti gambar yang agak kurang, saya agak kelam kabut kerana waktu ambil gambar, lagi beberapa saat sebelum berbuka puasa. Selamat mencuba!

Comments

Popular Posts