Tuesday, March 24, 2009

Kota Paris dalam kenangan

Sudah bersedia? Maaflah kalau muka surat ini lambat loading, banyak gambar. Ini edisi terakhir. Ya, terakhir.  Kota Paris dalam kenangan. 

Masih hari ketiga, bahagian II.

Jika kalian masih ingat, hari ketiga ini kami memilih untuk menyewa basikal, dan ketika ini, kami masih lagi dengan basikal. Makan tengahari, macam biasalah, yang paling murah dan paling mudah untuk cari, kebab. Kali ini, saya dan Zul berkongsi makan satu set, sebab subhanAllah, kalau makan seorang satu, mesti tidak habis, atau jika habis pun, mesti akan tidak ada ruang untuk bernafas. Penyakit sayalah, tidak reti tidak habiskan makanan dalam pinggan. Kalau besar portionnya, maka berhempas pulaslah habiskan. Satu lagi mitos mengapa saya mudah gemuk. Macam sekarang.

Kebab, lain-lain kedai pun, rasanya lebih kurang sama saja. Kami pilih kedai ini, sebab ada tandas. Selesa sikitlah, kalau kedai makan muslim, ada tandas dengan paip air. Kalau tandas awam biasa, pakai tisu lah jawabnya.

Lepas makan, lalu depan kedai ini, jual macam-macam manisan. Manisan Algerian, mula-mula kami macam tidak yakin juga mahu makan, tapi Zul tanya tuan kedai ini dan tanya adakah halal manisan-manisan ini, dia jawab memang halal, lagipun kebanyakan bahan asasnya gula, tepung dan kekacang. Kami beli 2 jenis. Sedaplah, yang kacang itu. Yang lagi satu, manis sangat.

Kemudian kami masih dengan basikal, cari-cari masjid. Mosque de Paris. Untuk jamak Zuhur dan Asar. Dan sememangnya memang antara tempat yang kami mahu jejaki. Ada dua saja masjid besar dalam bandar ini, jika tidak silap.

Lepas parkir basikal, saya terus-terus terkejut dengan impresi pertama. Ada seorang perempuan mintak sedekah, One Euro, One Euro!. Saya tak pedulikan dia, dan buat-buat pandang lain. Kemudian dia tanya Zul, ..from Malayzie?. Jarang sebenarnya penduduk tempatan bercakap dalam bahasa Inggeris, mungkin sebab dia tahu kami seperti pelancong. Zul jawab juga, tapi kami masih tidak beri duit. Saya rasa agak malu juga, terlalu ramai pengemis di kaki lima masjid, muslim pula. Lebih-lebih lagi di masjid. Impresi ini kurang sihat, memandangkan semua yang kami lihat, sihat tubuh badan, dan masih muda. Menjejaskan imej orang Islam, saya fikir.

Mosque de Paris, juga dikenali sebagai Muslim Institute atau Institut Musulman.

SubhanaAllah, cantik. (Lagi cantik kalau orang lelaki dua orang ini tiada dalam gambar. Lama kami tunggu mereka  beredar. Tak juga pergi.)

Kubah masjid, dan Zul, di samping basikal.

Selepas masjid, kami terpusing-pusing cari Pantheon. Tempat bersemadi sebahagian nama-nama besar produk Perancis, seperti Marie Curie, Voltaire, Rousseau, Victor Hugo, Louis Braille, dan ramai lagi. Besar betul bangunan ini. Ialah, konon-konon seperti makamlah. Kami tak masuk pun, ambil gambar dari luar saja.

Nampak tak saya, yang berdiri di kereta hijau itu? Terlalu besar bangunan ini, sehingga saya nampak macam semut super.

Ini pandangan depan.

 

Yang kelihatan kubah di belakang itu masih Pantheon, ketika ini kami sudah beredar. Saja mahu ambil gambar lagi. 

Selepas Pantheon, kami pulang ke hotel, mandi, solat dan makan sebelum misi mendaki Eiffel Tower malam nanti. (mendaki?)

Malam, kami tidak berbasikal, gelap, mana lah nampak jalan. Maka dengan metro, kami ke Trocadero. Ini pandangan dari Trocadero, cantik kan? Sangat cantik. Cuma lebih cantik jika tiada bintang kuning itu. Menurut Zul, itu bintang sempena meraikan Euro Cup. Agaknyalah.

Malam, masih ramai, tapi tidak seramai siang. Hanya ada dua kaunter saja dibuka. Dan kerana summer, Eiffel Tower dibuka hingga pukul 12 malam. Ini ketika beratur beli tiket.

Eiffel Tower ada tiga tingkat viewing deck. Ini tingkat kedua. SubhanaAllah, cantiknya dari atas sini. Yang mengunjur itu, nampak seperti padang adalah Trocadero Garden.

Nampak kan, jambatan-jambatan kecil itu, yang menghubungkan satu sisi sungai ke sisi yang lagi satu. Sungai Seine pun nampak bercahaya malam malam begini.

Ini ada patung lilin Thomas Edison, pada dek ketiga (yang paling atas). Dipamer di sini kerana ada sedikit kaitan (apa, saya pun lupa) dengan pemerintah Perancis ketika itu.

 

Ramai sangat manusia ketika naik Eiffel Tower, dan rupanya toleransi saya terhadap orang yang padat dan berpusu-pusu, tambah lagi bercium dan bergomol merata-rata, memang rendah. Apatah lagi bertolak dan berebut naik, menjadikan sabar saya menipis. Bila saya tertekan, Zul pun jadi terjangkit. Kami ada sedikit tertekan ketika di atas puncak Eiffel Tower. So much for the romanticness. Jadi hilang keindahan pandangan dari atas sebab orang yang terlalu ramai. Saya rasa, waktu menikmati pemandangan Eiffel Tower dari Trocadero mengalahkan semua pengalaman busuk ketika menaikinya. Mungkin boleh pergi waktu bukan summer. Tapi perlu tahan sejuklah.

Esoknya, selepas Zuhur, kami terus ke Hôtel de Ville. Bukan hotel pun, cuma bangunan pentadbiran bandaraya Paris. Terletak berdekatan dengan kawasan Notre Dame juga, di sini tiada matlamat apa-apa, cuma ambil gambar dan jalan-jalan.

Hari panas, langit cantik. (Tak tahu mahu komen apa tentang gambar ini, haha!)

Kami sudah selesai ke semua tempat utama di Paris, hari terakhir ini kami sudahkan masa mencari cenderahati. Menurut Lonely Planet Paris, selain cenderahati tipikal seperti fridge magnet, t-shirt, dan key chain, ada beberapa cenderahati (letihlah tulis cenderahati. Panjang dan skema) yang distinctive di Paris seperti coklat, perfume, dan teh. 

Coklat? Pada pendapat kami, tiada coklat dapat menandingi kesedapan belgian chocolate, maka kami tidak mahulah beli coklat orang Perancis. Lagipun di airport pun ada jual. Perfume? Kami beli juga, L'occitane, tapi sebotol sajalah, lagipun harganya sama dengan di Malaysia, walaupun L'occitane proudly made in France. Tak mampulah mahu beli banyak-banyak. Teh? Teh macam menarik, kan?

Ada dua kedai teh. Tidak adil saya panggil kedai. Butik teh sebenarnya. Mestilah semua orang tahukan, teh terbaik datangnya dari China. Sejarah teh pun memang bermula dari China. Tetapi sejak zaman dinasti-dinasti, apabila teh mula diimport ke Barat, minum teh adalah satu budaya kelas atasan terutamanya di England dan budaya ini terus menular ke negara Eropah yang lain. Termasuklah Perancis, di mana makanan adalah budaya terpenting yang dititikberatkan oleh masyarakat mereka.

Panjang, (bosan). Saya tahu. 

Ini di Mariage Freres. Nampakkan tong-tong besar di belakang saya? Itu semua teh dengan rasa yang berbeza. Bukan perasa tiruan strawberi atau teh wangi songket. Tapi jenis teh yang lain dengan cara proses yang lain, dari tahun dituai yang lain, menghasilkan rasa yang lain. Terlalu teknikal. Ada white tea, black tea, green tea, Imperial Tea, Oolong Tea, dan banyak lah. Saya paling kagum dengan pekerja mereka. Sangat cekap dan pantas, terasa macam di kedai pedang pun ada.

Yang Zul pegang itu, versi kecil untuk dibeli.

Kami tiba-tiba buat keputusan minum teh di situ. Mahu rasa juga, sebelum membeli. Takkan minum teh saja, kan? Kami makan scones dan madeleine juga.

Kami pesan teh lain-lain. Saya minum French Breakfast Tea, Zul minum Imperial Chinese Tea. Manalah tahu dapat seteko seorang, sudahlah bertungkus lumus habiskan semua teh, satu teko masing-masing. Kelakar, kalau tak mahu habiskan rasa rugi, harga seteko macam harga lunch untuk seorang. Padan muka kena habiskan.

Di depan kedai.

Bertentang dengan kedai itu, kami jumpa lelaki ini sedang lukis sambil mencangkung. Lukisan hitam putih, guna berus dakwat cina saja. Punyalah cemerlang, mana-mana pun boleh lukis. Paris memang tempat inspirasi semua pencinta seni, saya rasa. Mana-mana boleh jumpa artis, sama ada pemuzik, atau pelukis.

Cantik kan?

Kami lalu kawasan Notre Dame lagi, untuk singgah tengok-tengok cenderahati lain di sepanjang Sungai Seine. Terjumpa perarakan ini, di depan katedral itu. Ramainya manusia. Ada pope agaknya, yang bawa Notre Dame (Our Lady of Paris). Sempatlah tunggu dan ambil gambar sambil fikir-fikir mahu cari toilet di mana (sebab minum banyak sangat teh).

Lagi gambar perarakan.

Oh, kami ke sisi sungai yang satu lagi, untuk makan aiskrim Bethillon yang orang kata hebat. (Kak Mona suruh kami cari dan rasa aiskrim ini). Punyalah panjang orang beratur, mula-mula dalam hati mahu satu scoop, bila sudah lama sangat beratur, rasa tidak berbaloi satu scoop saja, maka tiga scoop seorang. Haha, puas hati.

Lazatlah aiskrim Berthillon, tapi sebab tamak tadi, maka campuran semua rasa jadi campur aduk dan rosak. 

Oh, kami menikmati aiskrim di tebing Sungai Seine. Itu aktiviti cool nombor tiga kami, di Paris. Tak sempat ambil gambar lah, sebab aiskrim punya pasal. Sudah meleh-leleh, terlalu fokus makan aiskrim, lupa ambil gambar.

Selesai makan, kami santai-santai atas jambatan, dengan persembahan pemuzik jalanan yang bersepah-sepah di situ. Kemudian nampak lelaki ini, yang memancing ikan sejak kami makan aiskrim di tepi tebing. Rupa-rupanya dia dapat ikan besar. 


Gambar 2: Dia turun untuk tarik tali pancing, berat sangat.

Gambar 3: Isteri dia juga terpaksa tolong sebab terlalu besar dan berat ikan itu, padahal ramai lelaki lain yang pandang saja sambil tepuk-tepuk tangan.

Gambar 4: Ada pelancong ambil gambar dia di samping ikan. 

Tiba-tiba ada aktiviti perikanan di Sungai Seine. Siapa kata Sungai Seine terlalu tepu dengan udara romantik dan tidak boleh buat aktiviti lain selain bercinta? (Tiada sesiapa pun kata, saya saja lebih-lebih).

Kemudian, kami naik RER untuk ke kawasan perniagaan di Barat Paris. Sudah berhari-hari tengok dan jumpa bangunan lama dan usang, di kawasan ini semua bangunan baru dan canggih, sangat cantik terutama waktu malam. 

Ini Grande De Arche. 

Besar sangat Grande De Arche ini, iyalah, tajuknya pun Grand.

Ada kompleks membeli belah (agaknya), The Four Temp, di hadapan Hilton Hotel.

Arkitektur Hilton Hotel pun unik dan canggih. 

Bangunan-bangunan tinggi yang lain di kawasan La Defense ini.

Zul seboleh mungkin mahu menikmati apa-apa persembahan di Paris sebelum kami pulang, tapi kalau mahu ke Moulin Rouge sudah jauh, lagipun ada aksi kabaret yang tidak wajarlah kita tengok, teater pun tiada yang sedang berlangsung ketika itu. 

Kami berkeputusan mahu menonton wayang sajalah, di kompleks beli belah di La Defense itu memang ada pawagam. Mula-mula mahu pilih tengok filem Perancis. Kan sedang di Paris, fikir-fikir semula, mestilah akan jadi tidak faham, sebab tak akan ada terjemahan ke bahasa lain, kan? Maka terpaksa tengok filem Inggeris, itupun berdebar-debar sebab takut sudah terjemah ke bahasa Perancis. 

Haha, mujur dalam bahasa asal. Punyalah kelakar, tonton Hancock di Paris. Abang saya sudah tengok Hancock seminggu sebelum itu lagi, di KL. Tapi yang menariknya, beli tiket wayang guna vending machine.  Tak payah rebut-rebut mahu seat mana, memang tak ramai orang pun.

Selesai menonton, kami pulang dengan RER juga, trip terakhir pukul 1 pagi. Kenderaan awam memang dipanjangkan servis hingga awal pagi di Paris, untuk tujuan pelancongan.

Esok pagi, selepas sarapan depan hotel, kami naik kereta api ke airport

Dari atas tanah Luxembourg. Kejiranan Perancis.

Sudah tiba di Tanah Melayu. SubhanAllah, cantiknya garisan kuning selepas dinihari. Mungkin sebentar lagi waktu Subuh.

Seperti Anthony Bourdain pernah beritahu dalam No Reservation, 'Travelling makes you change, it should change you.', saya fikir memang betul.

Selesai cerita kembara saya. Kota Paris dalam kenangan. Jika tidak pun menjadi panduan bagi yang ingin ke sana, saya harap saya dapat kongsikan rasa bahagia dan gembira kami di sana.

 

1 comment:

Anonymous said...

Seronok membaca catitan mengenai Paris ini. Bahasa dan penulisan yg sangat teratur.