Jejak Darussalam sepurnama lalu

Ini cerita sebulan lepas. Yang saya tangguhkan sangat entah mengapa. Sudah lupa? Sambungan selepas sukan di Miri. 

Ok, pagi Sabtu selepas sarapan, kami selesaikan dulu beberapa perkara. Tukar ringgit malaysia kepada dolar brunei  di pengurup wang di Miri (berjaya), tempah bilik hotel untuk tidur malam nanti selepas pulang dari Brunei (berjaya), dan cari peta jalan Brunei (tidak berjaya). Jalan ke Brunei memanglah tidak sukar, tapi kalau main suka hati jalan kalau sesat membazir masa juga, bukankah?

Kami siap-siap tempah hotel sebab konon-konon takut hotel di Brunei mahal. Rupanya ada hotel yang bagus tapi murah di Bandar Seri Begawan. Hanya tahu selepas main mesej-mesej dengan Mimi (yang baik hati) kawan baik Zaza. Tak mengapalah. Lain kali boleh tidur di Brunei saja.  

Jalan ke Brunei dari Miri adalah lurus, mendatar dan cemerlang. Zul lari 210km/j dengan bahagia (tapi saya ada sedikit kecut perut). Saya jangkakan kami akan guna coastal road, tapi bayang pantai pun tak nampak. Maka salahlah jangkaan saya.

Ini masih di Miri. Sebelum sampai Pusat Imigresen dan Kastam Sungai Tujuh.


Oh, ini sudah masuk Brunei. Memang Bahasa Melayu bahasa rasmi Brunei. Macam ada perasaan bangga senyap-senyap menyelinap dalam diri. Macam ketika saya mula-mula masuk UKM, dan bahasa Melayu digunakan secara mutlak. Memang banyak papan tanda semacam ini sepanjang jalan kami lalu.


Patutlah lambat sangat entri Brunei ini keluar. Semua gambar mahu masukkan. Tapi comelkan. Tut 73km, BSB 118km. Tut adalah Tutong. BSB adalah Bandar Seri Begawan (bukan Backstreet Boys ya, Ayuni)

Gambar lebuhraya Brunei macam PLUS kita, kan? Ok, semua itu ikut turutan. Akan jumpa Kuala Belait dulu, paling akhir Bandar Seri Begawan. Kami mahu tuju BSB dulu, untuk makan tengahari. Sudah pukul 11 waktu lepas check point kastam tadi.


Mimi, (kawan Zaza) cadangkan makan tengahari di Restoran Aminah Arif di Kiulap. Susah sebenarnya cari Kiulap sebab kami tiada peta yang efisyen. Tapi selepas tanya orang, akhirnya jumpa. Inilah ambuyat yang disuruh cari. Bruneian favourite.


Ini lauk-lauk yang mengiringi ambuyat. Secara asasnya, ambuyat menggantikan nasi. Lauknya lebih kurang sama dengan lauk nasi. Ada sayur, ikan, daging, dan yang paling penting, sambal belacan. Menu ini semua kami pesan setelah dengar penerangan cemerlang dari pelayan. Ada sikit-sikit tidak faham bahasa Brunei, tapi buat-buat faham. (Kami lupa Brunei negara asing. Ingatkan bila berjiran dengan Miri, mereka guna bahasa Sarawak. Rupanya salah. Anggapan salah yang kedua). Kami pesan nasi juga. Dasar melayu tegar. Risau kononnya lapar tak makan nasi. (Menurut pelayan cemerlang tadi, makan ambuyat cepat kenyang, tapi cepat juga lapar. Macam makan bubur nasi lah kaedahnya.)


Dua-dua cuba kawal kejakunan. Err, saya seorang sebenarnya. Sabar, nasi belum sampai.


Kami betul-betul ikut cadangan pelayan. Dia cadangkan air batu campur (kiri) dan air puspa (kanan). Sama saja rasanya. Cuma Puspa bubuh ais, ABC, aisnya hancur. Mula-mula lepas pesan saya lupa nama Puspa. Saya panggil Pupus. Ingat ini air sempena lagu Dewa? Apalah.


Ok, mula-mula kami dua-dua tiada idea macamana mahu makan ini ambuyat. Ada buluh yang dibelah dua dan ada juga sudu garfu. Lepas itu kami tiru (senyap-senyap) orang sebelah meja kami makan ambuyat bagaimana. Mula-mula cucuk ambuyat, kemudian putar bagi dia lekat pada buluh, kemudian cicah pada sambal belacan (atau lauk lain), dan makan. Saya salah pegang buluh, cuba tengok orang belakang saya, sebenarnya begitu. Tapi kira boleh terimalah, kamikan baru belajar. 


Ambuyat sebenarnya adalah kanji yang dibuat dari sagu (dijadikan tepung). Maka kalau makan ambuyat begitu saja, memang tiada rasa. Memang wajib cicah. Sambal belacan yang kami makan itu, subhanallah lazat. Ada campur binjai, maka ada masam-masam manis, dan pedas. Sedap. Saya suka ambuyat, sebab seronok main putar-putar dan lawan siapa dapat hasil lebih besar. Ternyata saya lebih cekap berbanding Zul. Terima kasih, ada kenyataan berbaur riak di situ. Haha. Tidaklah. Kami tak dapat habiskan pun. Kagum dengan orang meja sebelah yang habiskan sampai licin ambuyat mereka. 


Selesai makan, kami cari masjid. Kebetulan ada dua masjid terkenal di Brunei yang kami mahu lawat, maka bila masuk Zuhur pusing-pusing sekitar Bandar Seri Begawan, tanpa peta, kami jumpa Masjid Jamek Asr' Hasanil Bolkiah ini.


Masjid rasmi Sultan dan Sultanah Brunei.


Besar dan nampak mewah sangat. Ada eskalator tengah-tengah khas untuk sultan.


Selesai solat, kami ke bandar. Juga main teka-teka jalan. Antara yang menarik adalah setiap papan tanda ada versi jawi disertakan sekali. Comel, bila Body Shop dan Guardian pun berusaha dijawikan. Hebat kan?

Yang ini paling cantik.


Sejak bila Hua Ho jadi Aman Jaya? (Orang rabun jawi tidak akan faham sinikal ini)


Oh, kami tiba juga di masjid cantik satu lagi ini. Masjid belakang kami ini adalah Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Ada 9 kubah emas, pada masjid ini. Kami tidak masuklah, sebab sudah jamak tadi. Subhanallah, cantik dan nampak sungguh suci kan? (Bukan budak dua orang yang sakan bergambar, masjid itu maksud saya)


Berdekatan dengan Masjid Omar Ali Saifuddin, ada kompleks membeli belah terbesar di Brunei, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Memang kami berada di kawasan yang betul, sebab keliling sekitar masjid ini semua tempat-tempat yang boleh dilawati. Ada Tamu Kianggeh, ada Kampung Ayer, ada Pusat Seni Kraftangan, ada Makam Diraja, dan boleh ke Istana Darul Iman dari simpang jalan sekitar sini.


Inilah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang saya beritahu paling besar di Brunei. Saya suka keperibadian senibina bangunan ini. Masih moden, tapi ada nilai Melayu dan ada sedikit terpandang bangunan sebegini di sekitar Putrajaya. 


Ini Jong Sarat. Mirip songket, tapi ini produk Brunei.


Kami masuk sekejap dalam Yayasan, tengok-tengok sekejap. Pusat membeli belah di mana-mana pun sama. (Kecuali di Brunei, ada ejaan papan tanda jawi. Dan Giordano mereka berkongsi kedai dengan barisan pakaian moden tapi menutup aurat. Hebatkan.) 

Oh, dalam Yayasan ini juga saya dapat peta lebih lengkap dari gadis kaunter pertanyaan mereka. Dapat percuma pula, (peta yang kami beli awal-awal di stesen minyak sangat mahal, tidak lengkap pula. Kena tipu). Terima kasih gadis kaunter pertanyaan.

Kemudian kami cari Tamu Kianggeh. Tamu adalah pasar. Alahai. Dalam Peta Tipu ada tulis buka sampai petang, rupanya (memang dasar tipu), mestilah petang-petang tamu tutup! Tak tercapai hasrat mahu lihat-lihat tamu orang Brunei. Lain kalilah.

Kebetulan sudah nampak Kampung Ayer, kami bercadang, naik bot keliling-keliling pun menarik. Ketika tercari-cari ada seorang teksi tanya, mahu naik? Lepas tawar-tawar harga, kami dapat naik teksi bot keliling Kampung Ayer $B15 saja. Untuk 45 minit. 


Saya, bila ada sumber kelajuan, memang senang teruja. Memang excited sepanjang waktu atas bot. Yang saya pegang itu, peta yang gadis kaunter tadi bagi. Macam majalah pelancong. Tapi lengkap. 


Ini rumah-rumah di Kampung Ayer. Kami kebetulan dapat pemandu bot yang cekap dan cemerlang, ada sikit-sikit macam pemandu pelancong. Semua soalan kami tanya, dia dapat jawab dan terangkan dengan yakin dan penuh. Siap dengan statistik dan fakta sejarah. Kira macam aktiviti bot petang ini, selain seronok, informatif juga. 


Ini rumah orang, baru cat. Jadi berseri dan cantik sikit berbanding rumah lain.


Ini  surau.


Ini pula masjid Kampung Ayer. Menurut Encik Bot Teksi (BT), ada lima buah kampung dalam Kampung Ayer, dan ada dua buah masjid untuk semua penduduk yang bermukim di sini, yang 99.7% adalah muslim. Dulu-dulu, memang ada kaum Cina tinggal di Kampung Ayer, tapi selepas peristiwa kebakaran besar tahun 70an, mereka semua berpindah ke darat, dan yang tinggal adalah kaum Melayu.


Ini sekolah.


Ini pula Balai Bomba dan Penyelamat. Ada lori bomba yang boleh ikut jalan darat, dan ada bot bomba untuk kebakaran yang tidak tercapai oleh lori tadi.


Rumah lagi. Antara rumah-rumah, ada jambatan penghubung, tidak perlu naik bot atau kayak hanya untuk pinjam bekas ayak kuih jiran sebelah. 


Ini masjid lagi.


Ini sekolah agama terbesar di Kampung Ayer, untuk pelajar tahfiz.



Ini pula muzium yang sedang disiapkan, yang akan dinamakan sebagai Pusat Budaya dan Informasi Pelancong  Kampung Ayer. Saya mahu cadangkan Encik BT ini bekerja separuh masa di Pusat ini, nanti bila sudah siap. 


Ini stesen minyak untuk bot-bot Kampung Ayer. Saya mula-mula ingatkan, Brunei punya Syarikat Minyak dan Gas sendiri, ialah, Brunei kan kaya sebab minyak. Rupanya, mereka berkongsi nama dengan Shell. Oh, harga minyak di Brunei tidaklah murah sangat berbanding Malaysia. Murah lebih kurang 40 sen saja. Sila fikir, bagaimana lori tangki minyak mahu hantar minyak di tengah-tengah Sungai Brunei ini? Nanti saya buat sesi soal jawab di hujung segmen, ya?


Ha, inilah Encik Bot Teksi yang cemerlang saya beritahu tadi. Yang di belakang, lah.


Ok, saya adalah manusia paling suka curious yang pernah saya jumpa. Kadang-kadang saya letih juga, sebab menurut Mieyn, curiousity could kill me in one punch. Betul juga, tapi alhamdulillah saya masih hidup sampai sekarang. Disebabkan kami ada Encik BT yang sungguh cemerlang, saya gunakan dia sepenuhnya (walaupun Zul ada risau-risau dalam hati saya tanya soalan bukan-bukan).


Kenapa ada Kampung Ayer? (Bukankah masih ada banyak kawasan darat yang boleh didiami?): 
Kampung Ayer ini sudah ada lama, sejak 1300 tahun dulu. Maka sudah banyak generasi tinggal, sukarlah mahu berpindah dari tempat tumpah darah. (Mungkin sebab yang sama mengapa orang Eskimo tinggal di Kutub Utara, bukankah banyak tempat panas di seluruh dunia. Saya beri justifikasi sendiri sebab tidak puas hati dengan jawapannya)

Macamana mahu beli barang atau beras atau TV atau mesin basuh dan sebagainya?
Ada bot yang ambil dan turunkan penumpang di jeti-jeti utama dekat dengan bandar dan ada bot yang besar boleh muatkan barang-barang berat. Ada waktu-waktu tetap, mereka semua sudah tahu maka tidak jadi masalah.

Bagaimana kalau hujan, bot masih jalankah? Sistem pengangkutan jadi lumpuhkah kalau hujan?
Ada bot yang ada bumbung. Masih boleh ambil penumpang. Tapi bot saya tiada, saya kalau hujan memang tidak jalan, tak tahan sejuklah, hujan kena muka.

Ada ikankah dalam sungai ini? Boleh memancing sambil tengok TV?
Ada, kadang kadang memang pasang jala bawah rumah, nanti kalau ada yang lekat boleh masak terus. Kadang-kadang dapat ikan besar, udang pun ada. (How cool is that?)

Setiap keluarga ada bot kah?
Tidak semua, tapi kebanyakannya ada sampan kecik atau kayak.

Bagaimana dengan bot-bot? Tiada simpang tiga dan traffic light, tidak pernahkah kemalangan? 
Oh, semua yang bawa bot sudah cekap (ada muka bangga), saya tidak pernah accident, semua tahu beri laluan dan reverse sebagainya.

Ada speed trap? Ada had laju bot yang dibenarkan? Pernah kena saman dengan polis sungai?
(Tergelak) Tiada had laju di sini. Bawalah selaju mana pun. (bot memang paling laju pun tidak sampai 200km/j). Polis tidak saman, lah.

Bagaimana dengan sistem kumbahan? Ada loji kumbahan?
Ada rumah yang ada, ada yang terus buang dalam sungai.
Saya teringat tentang fakta ada ikan dalam sungai dan udang besar dan sebagainya. Bagaimana? Ada air-air terpercik kena muka tadi, kira halal lah?

Apa pekerjaan utama penduduk kampung Ayer?
Ramai bekerja di pejabat-pejabat di bandar. Pagi-pagi mereka akan ke jeti dan pergi kerja dengan kereta mereka yang diparkir di tempat khas disediakan oleh kerajaan Brunei (percuma) di tepi tebing sungai. 

Macamana minyak dihantar ke stesen minyak tengah sungai? Bukankah sungai ini cetek untuk sebuah kapal hantar minyak?
Guna kapal tangki. Jangan main-main, sungai ini agak dalam untuk kapal guna  hantar minyak. 

Banyak soalan, kan. Ini bukan semua. Ada yang saya sudah lupa. Selepas puas hati dan habis pusing keliling, kami pun balik ke jeti.

Zul bercadang mahu ke Jerudong Park. Seperti Taman Tema, alang-alang sudah di Brunei, tidak tahu lagi mahu ke mana, kami cuba cari jalan.

Sampai-sampai, macam kosong dan lengang. Bila masuk (ada bayaran $B3) rupanya banyak permainan yang sudah diberhentikan kerana kurang tarikan. 


Jerudong Park Playground. Kosong.


Zul kecewa. Saya juga, walaupun saya musykil untuk main semua permainan ini (jika ada pun). Oren itu konon-konon bawak bekal untuk makan sambil main. Kononnya.


Keluar dari Jerudong Park, ada Kelab DiRaja dan Istana. Banyaknya istana di Brunei. Macam sama jumlah dengan masjid di Brunei. Tahukah anda, Istana Darul Iman adalah kediaman sultan terbesar dalam dunia? Dan jumlah bilik dalam Istana Darul Iman, lebih banyak dari bilik di Istana Vatican City? Saya pun baru tahu.


Jerudong terletak antara BSB dengan Kuala Belait, maka alang-alang sudah di tengah jalan, kami berkeputusan pulang terus ke Miri, solat Maghrib Jamak Isya' di Miri saja. Walaupun tidak banyak tempat dapat kami lawat, sekurang-kurangnya keseronokan di Kampung Ayer dapat mengatasi semuanya. Lain kali, ada rezeki boleh datang lagi.


Di Miri, pagi esoknya Zul ajak sarapan di Hole No 9, makan Mee Jawa. 


Baiklah.


Cantikkan, persembahan teh tarik ini?


Ini lah mee jawa yang sudah lama diidamkan. Bila makan rasa macam berada di Semenanjung. Orang-orang meja sebelah pun semua tiada berbahasa Sarawak. Kira macam menepati selera orang semenanjung lah, kedai ini. Tahniah. Walaupun banyak anak kucing. Kalau tiada, mesti saya sudah boleh beri anugerah cemerlang. 


Macam biasa, bila sampai Miri, semua benda tiada di Bintulu mahu makan. Lepas jalan-jalan sikit di Bintang, kami makan tengahari dan selepas itu, pulang semula ke Bintulu yang permai. 


Cuba teka. Berapa berat selepas pulang dari Miri/Brunei? Haha. Tak perlulah, bukan dapat hadiah pun.

Akhirnya, selesai cerita di Brunei. 

Saya suka Brunei. Orang Brunei semua peramah, baik hati dan rajin membantu (terima kasih sekali lagi pada Zaza yang perkenalkan Mimi yang banyak tolong kami). Saya suka juga suasana di Brunei yang sungguh keislaman dan tenang dan bersih dan moden. Saya suka sepanjang jalan ada zikir-zikir mudah buat bekalan sepanjang jalan. Saya suka penggunaan tulisan jawi pada papan tanda. Saya suka juga bahasa Melayu bahasa rasmi mereka. 

Brunei, pendek kata seperti melawat Terengganu dengan penduduk berbahasa Melayu Indonesia. Lebih kuranglah.

Sekian. Ada umur jumpa lagi, bumi Brunei!

Comments

aRyNN69 said…
assalamualaikum.. sorry kalau saya nak betulkan sket.. actually nama istana tuh Istana Nurul Iman dan Istana Nurul Izzah.. bukan Darul yea ^^, dan lagi sebab Hua Ho tuh jadi aman jaya sebab erti hua ho in malay is aman jaya.. semua kedai2 cina akan ditranslate ke bahasa melayu dan dijawikan... kenape xpegi kat The Mall mase kat brunei arituh? The Mall and kawasan gadong lebih happening dari kawasan bandar.. :)
Time Traveller said…
Seronok nyer keadaan di Brunei..
Bahasa Melayu kat sana satu kebanggaan .. :D

Salam Kenal :D

Popular Posts