Ke mana tumpahnya kuah, jika bukan ke nasi sudah tentu menitis nitis sepanjang jalan ke nasi sebab sudunya sempit
Sakit. Perut.
Lepas selesai waktu bekerja Isnin kelmarin, Zul, kemudian saya mengalami keciritan perut yang teruk sampai saya muntah-muntah dan diiringi beberapa siri produk sampingan sakit perut yang tidak perlulah saya nyatakan di sini untuk mengekalkan kewangian blog ini (jika wangilah).
Tapi syukur, sudah selesai dan sudah sihat seperti sediakala hari ini. Doktor kata, inkubasi patogen pencemar boleh berlaku sepanjang lima minggu lepas, maka kami tidak pastilah sebab utama kami keciritan. Tapi hujung minggu lepas kami ada makan udang otak-otak versi orang Kuala Tatau. Entahlah. Mungkin ya, mungkin bukan.
Selepas dua hari terbaring dan berulang-ulang ke tandas, saya sungguh rasa segar dapat berpeluh-peluh buat kerja rumah semula hari ini. Muka lesu kusam dan kelam sudah segar. Hikmah sakit yang Allah beri percuma. Selain cuci-cuci dosa. Mudah-mudahan.
Kota London
Abang saya sudah selamat jejak kaki ke tanah London, awal pagi tadi. Dan sudah selamat tiba di rumah Kak Long di Manchester setelah hampir 24 jam perjalanan dari Tanah Melayu. Lamanya perjalanan seperti pergi ke menonton American Idol secara langsung pula. Terlalu lama kerana naik bas dan mahu mengelak naik kereta api yang mahal itu. Menurut Zul, hampir harga tiket Air Asia ke London (harga promosi sekarang). Tak mengapalah, asalkan dapat rehat dan mudah-mudahan tidak terlalu jet-lag.
Bila cerita-cerita tentang London, rasa rindu mahu ke sana lagi. Tempoh hari saya ada masuk pertandingan yang Air Asia anjurkan, main teka-teka belanja pelancong. Tidak ada rezeki, tidak menang. Tapi beza tekaan saya dengan pemenang hanya RM6. Sipi-sipi, tapi masih tidak ada rezeki untuk ke sana secara percuma. Cuba lagi, lah.
Ingat Negeri-Negeri Selat sajakah yang ada beca? Kota London itupun ada. Yang bawa beca pun muda belia gagah perkasa.
Waktu ini memang baru turun dari kapal terbang. Masih pening-pening akibat menonton dan minum kopi banyak sangat. Yang tiba-tiba bubuh gambar di London kenapa?
Kenduri Kahwin
Oh, penghujung bulan Mei dan sepanjang bulan Jun ini sungguh ramai orang buat kenduri kahwin. Saya siap sudah senaraikan ikut tarikh dan tempat walaupun kemungkinan besar tidak dapat pergi kerana tidak dapat pulang. Bagi rakan-rakan yang akan kahwin, dan ada baca catatan ini, selamat melangsungkan perkahwinan. Semoga majlis penuh berkat dan berjalan lancar dan semoga ikatan kukuh dan teguh hingga sampai syurga. Ketahuilah bahawa majlis kahwin hanyalah pemula dan tidak menjadi penentu kehidupan berumahtangga.
Sekian. Saya mahu pergi minum teh ais lemon yang sejuk.
Comments