Kemujuran yang sebentar ini

Saya sebetulnya sedang ada banyak kerja. Ada enam kerja masih belum dipotong dari senarai Things To Do saya. Tapi sengaja mencari saluran eskapisme. Juga saya segan entri harilahir masih belum bertukar, padahal sudah tua berhari-hari lepas.

Entah mengapa cicak melancar perang dalam rumah saya. Semalam ada seekor cepat-cepat masuk dalam peti sejuk terus ke bahagian beku. Saya panggil Zul, kemudian Zul cadangkan biarkan dia sejuk, senang angkat dan buang. Sebelum buat proses mati-beku itu, saya ada beri dia peluang untuk lari dalam tiga minit. Tapi degil. Siapa suruh. Kan sudah bertemu ajal dalam ais. Semalam juga saya jumpa bersepah-sepah najis mereka dekat kawasan belakang pintu. Tiba-tiba banyak. Nanti kalau jumpa saya mahu cadangkan mereka pakai lampin. Ada hari sebelum itu juga jumpa najis cicak sangat kecil. Zul tanya, ini kira najis muhaffafah kah? Sebab bayi cicak punya. Haha.

Tiba-tiba cerita pasal kebusukan cicak. Padahal niat asal mahu kongsi resepi.

Ini resepi Seafood Spageti Berkrim. Senang. Versi sedikit melayu.

1) Rebus spageti hingga al-dente. Tapis, ketepikan.
2) Tumis bawang putih (ditumbuk), kemudian masukkan sedikit oregano. Masukkan sotong, kacau hingga masak. Jika nampak kering masukkan sedikit air. Masukkan cili merah (dimayang).
3) Masukkan sos putih (gaul susu segar dengan sedikit tepung), dan kacau. Bila hampir mendidih, masukkan udang. Rasakan dengan garam dan lada sulah.
4) Bila udang sudah masak, masukkan spageti dan daun parsli. Campur juga sedikit bayam (jika mahu, rebus hingga lembut dan tapiskan). Hidangkan dengan keju serbuk, jika ada.
5) Siap. Hidangkan!






Selamat mencuba!

Comments

Popular Posts