And it's so good that when you take a bite out of that burger, you just know somewhere in the world a vegan is crying (Homer Simpson)

Salah satu hari bulan puasa yang lepas, terpengaruh dengan cara Jamie Oliver buat daging burger macam terlalu kacang, selain sebab teringin makan Carl's Junior tapi berada di Timur Malaysia (ya, kami masih di Malaysia, bukan luar negara ya Diana) maka bersungguh-sungguhlah cari semua bahan penting macam daging kisar, roti burger dan kentang belum goreng beku untuk lengkapkan hidangan konon-konon burger ini.

Rupa-rupanya memang mudah. Saya percaya, sesiapa pun boleh buat.

Ini kombinasi resepi Jamie (dalam The Naked Chef) dan dalam bukunya Jamie at Home, juga resepi saya pandai-pandai ubah sebab tidak cukup bahan.

1) Campurkan bersama 600gm daging kisar (kalau beli Ramly punya daging, sepeket setengah), dua sudu serbuk roti (sepatutnya kisar roti potong, tapi saya guna Japanese Breadcrumbs sebab roti habis), secubit garam, sesudu sos tiram (sepatutnya guna sos Lea and Perrins, tapi sebab tidak yakin halal, maka tidak beli), dan sesudu serbuk lada (saya guna Cayenne pepper) dan sebiji telur untuk melekatkan semua bahan.
2) Gaul semua, dan bentukkan jadi kepingan patty, ikut sukalah mahu tebal atau nipis.
3) Bekukan semua kepingan daging dalam peti sejuk untuk beberapa jam (sekurang-kurangnya setengah jam) supaya mereka ada masa untuk melekat dan bermesra.
4) Kemudian goreng (tanpa minyak atas non-stick pan) macam daging burger biasa, jangan tekan-tekan daging waktu goreng, konon-konon mahu tiru abang jual burger tepi jalan, sebab nanti semua jus daging keluar, jadi kering dan tidak berjus (juicy) burger nanti.
5) Kemudian sediakan semua rakan-rakan burger yang lain seperti roti, coleslaw dan kentang goreng.
6) Hidangkan dengan keju cheddar, terpulang kalau suka keju dan tidak kisah gemuk, letak dua keping, kalau risau gemuk baju sudah ketat, macam-macam risau, jangan makan burger, eh bukan, jangan letak keju.
7) Saya bubuh juga jeruk timun berusaha tiru McDonalds punya tapi sebab menjeruk cuma 3 jam tidak berapa jadilah.
8) Kemudian, hidang.




Sebelum bentuk jadi keping-keping.


Sedia untuk dimakan. Mungkin nampak buruk, tapi subhanallah, lazatnya bila makan keju cair atas daging tebal. Tidak bagus diamalkan selalu.

Lain kali, kami mahu kisar daging sendiri lah, sebab beli daging kisar yang Ramly dan Ayamas punya ada ketul-ketul lemak atau entah apa yang keras, bila gigit jadi sakit gigi.

Sekian, sesi kongsi resepi setelah sekian lama malas masak. Cubalah, mana tahu burger kalian lebih hebat dari Carl's Junior?


Comments

Popular Posts