Baru bangkit dari tidur
Saya rupanya ada masalah perlu selesaikan sesuatu ikut turutan yang sebenar. Walaupun Syawal sudah lama berakhir, dan aktiviti makan-makan yang kami buat pun sudah lama berlalu, saya perlu ikut turutan kronologi gambar, entah mengapa saya sendiri tidak faham.
Lebih lama saya tangguhkan, lebih tidak relevan kumpulan gambar ini untuk dikongsi. Bukanlah mahu heboh sangat, cuma mahu berkongsi terutama dengan emak yang susah-susah ajar saya buat ketupat sejak mula beli daun, hingga anyam, hingga selesai rebus.
Lain-lain, lauk komplemen ketupat yang biasalah, tidak perlulah saya letak resepi (malas sebenarnya).
Kami buat aktiviti makan-makan ini joint-venture dengan Sue dan Choe. Sebab mahu jimat masa dan kos dan lebih mudahlah berganding tenaga begini. Saya sediakan ketupat, rendang ayam, sambal tumis udang dan sambal kacang. Sue masak kuah lodeh, sambal sotong, dan tempah sate. Aktiviti makan-makan sembang-sembang semua berlangsung di rumah Sue.
Pertama kali anyam ketupat guna daun nipah. Ya, di tamu Bintulu tiada orang jual daun kelapa untuk ketupat, maka perlu cuba belajar anyam guna daun nipah. Mula-mula skeptikal, sebab ketika masukkan beras dalam sarung ketupat, semua daun sudah kelihatan kecut dan layu, langsung tak selera. Tapi tidaklah mahu buang, membazir masa anyam berdua depan tv. Tapi kemudian lepas rebus, jadi cantik semula. Oh, untuk daun nipah yang lebar, kami perlu bahagi dua supaya boleh anyam ketupat bawang (Zul baru belajar anyam ketupat bawang, saya belum ajar jenis ketupat lain. Macamlah tahu banyak jenis anyaman, haha). Bolehlah, hasil first-timer mengusahakan produksi ketupat.
Saya mahu kongsi, rupanya kepadatan ketupat adalah berlainan ikut negeri. Sekurang-kurangnya bagi Melaka dan Johor lah (yang saya perhatikan). Orang Melaka suka ketupat lembut, tidak berapa padat, sebab kami memang suka cicah dengan sambal tumis, dan tabur urap kelapa. Kelembutan nasi boleh menyerap sambal dengan lebih efektif.
Tapi orang Johor suka ketupat padat dan keras, sebab mereka makan ketupat dengan kuah lodeh banjir, kemudian bubuh sambal kacang di atasnya. Jadi kebanjiran kuah lodeh sudah mampu untuk melembutkan ketupat.
Orang Melaka makan ketupat lebih nikmat dengan tangan, supaya boleh mengecap kepedasan sambal di hujung jari. Orang Johor makan ketupat dengan sudu dan garfu.
Tiba-tiba buat perbandingan orang Johor dan Melaka dalam konteks ketupat. Haha.
Saya bercadang mahu meng-you tube-kan cara-cara anyam ketupat, manalah tahu boleh jadi rujukan mudah untuk yang bercadang mahu belajar. Tapi nantilah, bila jari sudah kurus sedikit. Nanti orang terganggu dengan cikgu menganyam berjari gemuk.
Dapat juga saya update blog. Tahniah untuk diri sendiri.
p/s: Rupanya sudah ramai orang ajar anyam ketupat di you tube. Niat mulia saya tak perlulah diteruskan jika begitu, kan.
Comments