In my daughter's eyes I can see the future, A reflection of who I am and what will be



Tiba-tiba mahu tulis secara rambang lintang pukang. Sila benarkan.

Kasih

Anak kecil kami ini sebetulnya sudah boleh menapak dua hari sebelum hari lahirnya, tapi betul-betul boleh berjalan tanpa asyik-asyik terjatuh adalah selepas buat makan-makan. Dan makin rajin berjalan bila dapat kasut baru. Alhamdulillah. Saya tidaklah risau sangat tentang cepat atau lambat perkembangan fizikalnya, cuma syukur, dia dah boleh berjalan sekarang maka kalau ke mana-mana yang sesuai, boleh berdirikan dia dan bagi dia berjalan sikit-sikit. Tidaklah lenguh sangat tangan. Hihi.

Tapi sejak dua menjak ini selera makan Kasih makin tak menentu. Ada hari makan ayam, ada hari tak mahu. Ada hari mahu nasi, ada hari tak nak langsung. Jadi sekarang saya cuba untuk bagi dia kenyang, tak kisahlah tak makan sayur atau protein, asalkan makan, dan kenyang, dan ada tenaga untuk pertumbuhan. Memang, kita mahukan dia sihat sempurna, tapi menurut BabyCenter, selagi dia mahu makan, dan kita duduk makan bersama dia akan dapat contohi apa yang betul untuk dia. Tidak perlu paksa.

Eh tiba-tiba jadi jurucakap BabyCenter.

Sekarang Kasih sudah tunjukkan ciri-ciri keperempuanan sedikit. Sudah pandai mengendong tali tas tangan, suka godeh periuk kosong dengan sudu, bila nampak bunga akan jerit dan tunjuk dengan gembira, suka pakai tudung, bila saya lepas solat atau tengah lipat baju, tudung mesti Kasih ambil. Tapi dia juga suka tiru apa-apa yang Zul buat. Jilat jari lepas makan nasi, pakai cermin mata hitam dalam kereta, dan tap-tap jari masa sedang minum.

Oh, Kasih sedang obses dengan Barney. Bukan Barney Stinson. Barney the imaginary dinosaur. Malam tadi saya dan Zul dua-dua sangat mengantuk, dan biasanya bila tutup lampu Kasih pun akan tidur. Tapi semalam kena keluar semula pasang Barney, kemudian dia berjoget-joget suka. Alahai Kasih. Sekarang saya mengantuk, sepatutnya boleh tidur, pergi tulis blog pula. Siapa suruh, kan.

Eh jadi tulis pasal Kasih pula. Kata mahu lintang pukang?

Rumahku (belum berapa sangat) syurgaku

Alhamdulillah, kami akan berpindah ke semenanjung. Haha belum. Tapi itu dalam dunia imaginasi saya. Kami akan pindah rumah sewa lain, sebenarnya. Sekarang sedang bungkus-bungkus barang sikit-sikit, tapi selalu malas. Sebab kalau saya seorang, Kasih akan keluarkan semula barang. Atau sepahkan. Maka letih. Kena buat laju-laju.

Tapi ada banyak barang yang tak pakai. Ada yang macam nak pakai, baju contohnya. Tapi sebab gemuk, maka tak muat. Konon-konon simpan, andaikata sejarah manis berulang semula. Tapi, menurut Zul, perlu let go semua. Andaikata sejarah akan berulang pun, ada rezeki beli yang lain. Maka perlu asingkan yang mana akan beri orang, atau buang. Banyak rupanya junk bila sedang mengemas. Rasa segan pada orang pungut sampah, siap keluarkan plastik sampah sikit-sikit supaya dia tak kutuk kita yang banyak sampah.

Oh, kami ada dua pendingin udara untuk dijual, masih elok belaka. MEC dan Hitachi. Juga peti sejuk Toshiba, baru lagi, siapa beli dapat percuma mesin basuh, LG, juga masih molek. Haha. Siapa berminat sila hubungi saya. Rumah sewa baru ada semua barang, dan semuanya lebih besar dari kami punya.

Oh, saya tak sabar mahu mulakan mini garden di rumah itu nanti, sebab ada tanah yang comel di belakang. (Sekarang pun ada, tapi sebab kadang-kadang ada ular, dan semak maka risau dan tak rajin ke belakang). On another note, siapa mahu anak pokok selasih dan pokok pudina? Alahai membiak banyak sejak semai, alhamdulillah. Mahu? Juga hubungi saya.

Ok sudah panjang membebel. Oh, gambar Kasih ini diambil lepas saya solat, dia terbangun tidur terus minta pakaikan mini tudung. Tapi ini versi pakai tudung nampak dada segala, versi artis. Haha. Semoga bila sudah wajib pakai tudung nanti, akan istiqamah terus menutup aurat.

Sekian tulisan rambang lintang pukang.

Comments

Marliza Radzi said…
Eh budak comel ni pakai tudung nampak macam big girl nak gi ngaji :)

Sangat happy kalian dapat rumah yang lebih baik :)

Tanamkan pokok untuk rumah aku (di balkonilah).
Anonymous said…
Saya suka baca walau lintang pukang katanya. Lintang pukang ke? Takde la. Menarik sebenarnya (sambil2 bekerja saya baca ia hehehe..curi tulang ke namanya? Ntahlah..). suka tengok kasih yang comel itu. semoga terus rajin bercerita ya.
baini said…
comel!Both Kasih and this entry,hehe.Maryam pun suka heret handbag aku sekarang ni, lepas baca ini entry baru aku paham rupanya dia tiru perbuatan aku,:p.
Alhamdulillah, kami akan berpindah ke semenanjung. Haha belum. Tapi itu dalam dunia imaginasi saya.-- ko pandai memainkan perasaan aku eh, baru nak meloncat gembira ko dapat balik semenanjung. cis.

kasih comel sangat ni..
Ummi Salsabila said…
Banyaknya perkembangan kasih! seronoknya baca.cantik kasih pki tudung.

Alhamdulillah,happy dgn berita gembira itu.
zanadi said…
ayinn....anak pokok selasih and pudina?nak boleh?serius nii...best buat ulam..hihi
AyinEmran said…
marliza: Thanks beb. Alhamdulillah. :) Eh nanti aku bawak kalau balik JB.

Anon: Thanks dear. Merepek je entri ni hihi.

Baini: Memang tengah fasa meniru diorg ni, tak lama lagi nak mekap pulak. Haha.

Min: Haha doakan. Kena selalu ckp dapat balik, jadi doa. :)

zanadi: Nak? Siapa ni Zana stf959 ke? Mcmana nak pas kan anak pokok ni?

Popular Posts