Of good news and bad news
Saya baru mahu melungsur-lungsur internet dengan laptop atas riba, atas katil dalam bilik. Tiba tiba terasa ada air menitis atas kaki, tik tik tik tik makin laju. Aduhai, lebatnya hujan sejak tengahari sampai jadi bocor pula bumbung. Bukan, saya tidak tinggal dalam rumah setinggan, jangan salah faham, cuma rumah sewa, mungkin sudah berusia, maka macam-macam lah masalahnya. Minggu lepas baru suami saya menyelesaikan masalah sinki dapur dan lubang salur air tandas tersumbat, minggu ini bumbung bocor pula. Bukan, bukan mahu mengeluh. Saya cuma berkongsi cerita. Bahagia sebenarnya. Masalah masalah kecil inilah yang saya maksudkan dalam kebahagiaan hidup berdua, dalam rumahtangga baru.
Antara sebab mengapa saya tidak kisah mahu mengikut suami tinggal jauh dari tempat asal, dan semenanjung. Saya sangat percaya bahawa perkahwinan itu harus berlaku dan menyaksikan dua manusia lelaki dan perempuan, tinggal bersama, menyesuai sifat dan berkongsi cerita bersama. Menghadapi masalah masalah kecil bersama, berkongsi rasa bahagia bersama. Meski cerita biasa, tapi bila menghadapi bersama, ia jadi lebih bermakna. Dan pastinya, kes ini tidak saya maksudkan kepada semua orang. Ada juga suami isteri yang tinggal jauh, tapi bahagia. Sekali lagi, kebahagiaan itu kan sangat subjektif. Saya mahu mengukur bahagia sendiri, maka benarkan, ya.
Oh, berita pilihanraya yang sudah usai, dan saya tidak mahu mengulas lanjut. Cukuplah mahu memberitahu, entah kenapa, saya sampai jadi tidak lena tidur dan terbawa ke mimpi semasa malam mengumumkan keputusan (tidak dapat berjaga sampai selesai kerana perlu bangkit awal pagi ahad). Bukannya saya calon pun, entah. Risaukan perkara yang tidak perlu dirisaukan. Kelakar. Ahad jadi terhuyung hayang kerana letih dan tidak cukup tidur.
Oh, cerita hujung minggu nanti saya simpan untuk entri seterusnya.
Oh juga, jangan risau air sudah berhenti menitik. Hujan pun sudah kurang lebatnya.
p/s: Ralat entri pilihanraya saya, silap fakta. BN memang sudah menduduki kerusi di sini, dan akan terus mendudukinya untuk penggal ini. Silap. Saya. Maaf.
Comments