Minggu lepas yang panjang. Dan tajine.




Saya macam rasa minggu lepas adalah minggu yang panjang. Hari yang paling sibuk, bila tiba rumah, saya melepas nafas lega dalam satu ayat pada Zul, 'what a long day'. Kemudian Zul balas, 'itu baru kerja sehari, cuba teka keletihan orang yang kerja lima hari seminggu?'. Saya terkena. Tapi saya fikir, bukan letih fizikal yang lebih terkesan. Letih mental; bawa kereta belakang orang tak faham bahasa di lorong kanan, cari parkir kereta, cari barang dapur sambil semak senarai barang yang perlu dibeli, sambil menahan sesuatu dalam pundi kencing, sambil rasa terganggu dengan bateri telefon bimbit yang lemah yang setiap dua minit berbunyi tit-tit-tit.

Itu belum kira kejengkelan saya terpaksa sembang kosong dengan Encik Ambrela (bukan nama sebenar) sebab dia mahu tutup pejabat pos awal, walaupun belum waktunya, dan saya mahu bayar bil.

Kemudian ada siri temuduga lagi, dengan semua calon lain lebih kurang sebaya adik bongsu saya, orang sebelah saya waktu menunggu masih rasa jam tangan dengan warna warni serta kilau batu itu sesuatu yang cool, dan saya orang paling tua. Ok, mungkin bukan paling tua, ada seorang lelaki mungkin datang untuk temuduga jawatan pemandu lori lebih tua dari saya. Saya fikir semula, kawan-kawan sebaya saya, semua sedang di ambang kesibukan hidup dan kerja yang paling maksima, dan penuh dengan jadual mesyuarat dan sebagainya. Dan ironinya saya masih belum bekerja. Bekerja tetaplah. Langsung tidak menyesal ataupun kecewa, cuma terfikir. Betapa ironi.

Lega. Ok, boleh teruskan dengan agenda asal saya untuk entri ini. Masih ingat cerita kami makan tajine, di Paris? Food Safari (rancangan di Discovery Travel and Living) dua minggu lepas siarkan tentang makanan orang Maghribi yang tinggal di Australia. Kemudian ada seseorang yang terus teringat-ingat kelazatan daging kambing yang lembut dalam kuah tajine. Ok, sebenarnya Zul yang teringin makan tajine, dan esoknya kami cari bahan untuk buat lamb tajine.

Saya cari resepi mudah, antara tajine versi Nigella dan versi asal orang Maghribi. Kemudian saya gabungkan dengan bahan penting yang Zul mahu ada, iaitu kacang pis, prun, olives, dan mestilah lamb.

Tajine, bagi yang belum tahu, adalah stew daging versi pedas (spicy meat stew), dan boleh guna daging kambing, ayam, lembu dan ikan. Dan pendapat saya, hidangan yang paling kaya dengan rasa tapi paling mudah (rich in flavor, yet incredibly easy to make), yang pernah saya buat.

Kali pertama buat, walaupun berjaya, tapi bukan rasa yang Zul mahu. Tajine jadi pekat dan warna prun yang gelap telah mendominasi segala-galanya. Maka, kali kedua, saya abaikan prun dan masak seperti kali pertama.

Ini cara saya,

1) Tumis bawang putih dengan halia (yang telah ditumbuk) hingga wangi.
2) Kemudian masukkan campuran rempah (sedikit kunyit, serbuk jintan manis, serbuk cili cayenne, serbuk kulit kayu manis, garam, dan hirisan kulit lemon), dan kacau hingga sedikit garing.
3) Kemudian masukkan kiub daging biri-biri (lamb) dan gaul hingga semua rempah menyaluti daging, dan biar hingga warnanya perang.
4) Masukkan lobak merah (potong setengah inci tebal) dan bawang besar (juga potong lebar).
5) Masukkan air, biar melepasi paras kesemua masyarakat dalam periuk. Masukkan olives, dan tunggu mendidih.
6) Bila sudah mendidih, rasa kuah tajine, kalau sudah cukup rasa masin dan rempahnya, tutup api dapur. Tutup periuk dan masukkan dalam ketuhar yang sudah dipanaskan 150 darjah celcius. (Kalau tidak mahu masak dalam ketuhar, boleh masak atas dapur juga, guna api kecil, untuk tempoh waktu sama)
7) Biarkan tajine masak secara perlahan, selama dua jam (atau sejam setengah). Setengah jam sebelum keluarkan periuk, masukkan kacang pis. Atau apa-apa kacang yang anda suka.
8) Selesai semuanya, hidang dengan couscous, atau nasi, atau roti. Kami makan dengan roti panggang (dengan bawang putih).



Ini tajine yang pertama. Nampak gelap dan pekat. Waktu ini makan dengan roti bakar dengan bawang putih.



Ini tajine kali kedua. Lebih cair, dan tidak gelap lagi.

Kali kedua sempat beli french bread, konon-konon perasan berada di Paris lagi. Tapi tipu panggang roti guna planta, bukan lurpak. Haha.


Rendam roti dalam kuah tajine, biar dia lemas, kemudian makan roti dengan cebis daging biri-biri yang sudah jadi sangat lembut. Subhanallah, lazat.

Zul lebih suka rasa tajine yang kedua. Saya suka dua-dua, sebab ini merupakan hidangan paling minima gunakan pinggan mangkuk untuk masak dan hidang. Kurang kerja basuh pinggan lepas makan. Ya, saya malas. Kadang-kadang ada Ugly Betty atau CSI atau rancangan bukan-bukan di TV yang saya kejarkan. TMI (too much information).

Oh, lupa mahu beritahu. Sangat jelas, saya mengkhianati resepi asal dengan tidak mengguna bekas tajine untuk masak tajine. Rasa tajine orang Maghribi lebih asli sebab mereka guna periuk tanah liat dengan bumbung kon tinggi untuk pelepasan wap secara perlahan. Juga saya mahu ingatkan, jika mahu cuba resepi ini, dan mahu masukkan periuk dalam ketuhar, pastikan periuk itu jenis yang oven-safe. Jangan nanti, selesai dua jam masukkan periuk dalam ketuhar, pemegang periuk jadi cair, ya?

Selamat mencuba!

p/s: Saya keliru dengan nama olive dalam bahasa melayu, adakah buah zaitun? Buah zaitun yang orang balik haji dan umrah itu bawa pulang langsung tak sama dengan buah zaitun olive. Mungkin yang selalu dibawa balik dari Mekah itu sebenarnya figs? Figs dalam kamus maksudnya buah ara. Bagaimana, apa pendapat anda?

Comments

Anonymous said…
ya itu buah figs

Popular Posts