Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya
Lamanya tak update, konon-konon sebelum pulang semenanjung mahu update sekali. Tapi tiada jodoh (kononnya).
Saya ada bercadang mahu letak gambar aidiladha di Melaka, tapi sayangnya tiada yang sesuai, yang ada cuma video ucapan untuk Kak Long dan keluarga di Manchester.
Maka, elemen paling dekat dengan hari raya korban adalah daging korban inilah. Emak bekalkan daging, baru semalam saya sempat masak (setelah 37 tahun tidak masak untuk makan malam).
Senang sangatlah resepi ini. Saya kongsi pun sebab blog ini sunyi sepi tiada entri baru, dan juga mahu cuba macro shot guna kamera kecil baru Zul. Boleh tahan macro jugalah, kan. Lepas ini boleh bawa kamera ambil gambar makanan tanpa segan silu. Haha.
Baiklah puan-puan.
1) Hiris nipis bawang putih, bawang merah dan sedikit halia. Tumis sampai naik bau.
2) Masukkan lada hitam yang telah ditumbuk halus (ikut suka banyak mana, kalau mahu pedas letak banyaklah).
3) Kemudian masukkan daging yang dihiris nipis (emak sudah bekalkan daging yang siap rebus, maka tidak perlu tunggu empuk)..
4) Masukkan kicap manis, kicap masin dan sedikit sos tiram.
5) Masukkan juga kentang yang dipotong nipis. Tutup kuali, biar mereka semua mesra dan empuk bersama.
6) Bila sudah empuk, masukkan daun pasli dan hirisan bawang besar, dan gaulkan sebelum diangkat.
7) Bila sudah mantap rasa masin manis dan pedasnya, tutup api dan hidangkan!
Senang kan. Malas lah nak beritahu lagi banyak kali betapa senang. Saya lebihkan lada hitam sebab mahu tonjolkan kepedasan lada hitam. Tapi kalau mahu tonjolkan sifat kicap, boleh kurangkan lada hitam dan lebihkan kicap. Lebih kurang resepi ini dengan ayam masak kicap, cuma tiada cuka dan tomato potong saja.
Cubalah. Sekarang saya mahu pergi makan, sudah lapar teringat daging lada hitam.
Comments